Sesetengah golongan manusia sanggup bermatian-matian mempertahankan sesuatu kepercayaan atas justifikasi pembangunan. Memejamkan bukan sahaja mata, tetapi hati nurani dan perikemanusiaan daripada realiti yang zalim. Di Malaysia, kita tidak berkecuali.
Betapa golongan manusia ini akan membentangkan indeks GDP dalam membentangkan analisa perkembangan ekonomi untuk berbangga dengan kemajuan yang kononnya dicapai. Ditambah pula dengan fahaman pembangunan yang diselebungi semangat membela nasib Melayu dan mempertahakan kemelayuan.Hidup Melayu, mati Melayu, sehinggakan Melayu itu sendiri disembah dan dipuja seperti sebuah agama.
Berbanggalah dengan pertumbuhan ekonomi yang dicanang-canangkan.Berbanggalah, dan terus berbanggalah di saat sebuah kampung di Terengganu yang didiami sejak tahun 1934 diroboh pada hari ini dengan rakus oleh pemerintah.
Berbanggalah kerana mereka dilabel sebagai setinggan, walhal dari segi undang-undang mereka adalah anak jati tanah air Malaysia yang merupakan peneroka bandar dan hak mereka adalah termaktub di bawah doktrin "adverse possession" yang bukanlah doktrin asing di bawah "common law". Berbanggalah kerana hak mereka untuk hidup dalam sebuah rumah seolah-olah tidak pernah wujud di bumi yang penuh kemelayuan ini.
Berbanggalah dengan kemelayuan pemerintah yang mengusir mereka, meninggalkan mereka sehelai sepinggang di bumi mereka sendiri, tidak berumah dan hanya berbumbungkan langit. Berbanggalah dengan analisa ekonomi dangkal untuk terus bermegah-megah dengan pendirian jitu itu di mana pada masa yang sama golongan yang paling memerlukan perlindungan ditindas dan dipijak, terus-terusan, untuk sekian waktu yang terlalu panjang.
Berbanggalah, sehari selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan siapa Menteri Besar Perak yang baru, sebuah kampung di Perak yang didiami orang-orang miskin dirobohkan dengan rakus.
Berbanggalah di mana tanah orang-orang asal diceroboh dan dirampas dengan zalim.Anak-anak perempuan dan wanita mereka dirogol dan dicabuli tanpa sebarang pembelaan dari pihak pemerintah.
Berbanggalah dengan pembangunan dan kemelayuan itu.
Tuhan yang satu berbicara dalam surah Al-Ma'un : Celakalah mereka yang mendirikan solat, seandainya mereka memalingkan orang-orang yang miskin dan memerlukan.
Tuesday, March 02, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Aku hanya menambahkan feed Anda ke favorit saya. Saya sangat menikmati membaca posting Anda.
Post a Comment