Institusi Polis: Mengawasi dan Diawasi?
Fadiah Nadwa binti Fikri | May 19, 2010 04:55:45 pm (merdekareview.com)
photo from here
Kerisauan dan kemarahan yang yang timbul baru-baru ini disebabkan kes Aminul Rasyid Amzah adalah kesan daripada hilangnya keyakinan kepada institusi polis. Institusi inilah yang sepatutnya menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang dan bukannya berselindung di sebalik impuniti (pengecualian daripada hukuman) setiap kali kejadian tembakan yang menyebabkan maut berlaku atas alasan untuk memberkas suspek di mana nyawa rakyat yang tidak berdosa dan masih belum dibuktikan bersalah dirampas tanpa sebarang justifikasi.
Kejadian pembunuhan di luar kuasa (extra judicial killing) bukanlah sesuatu yang asing di negara kita, terutamanya dalam kes-kes di mana polis melepaskan tembakan yang membawa maut ketika mana polis dikatakan cuba untuk memberkas seseorang suspek.
Mengikut laporan yang dikeluarkan, pada tahun 2009 terdapat sebanyak 39 kes tembakan oleh polis yang menyebabkan kematian ketika mana polis cuba untuk memberkas seseorang individu. 39 kes kematian yang disebabkan tembakan polis ini tidak disiasat oleh mana-mana badan bebas bagi menentukan samada anggota polis yang telah melepaskan tembakan yang menyebabkan maut tersebut telah bertindak dengan atau tanpa justifikasi di bawah undang-undang.
Kes-kes tembakan sebegini akan dilaporkan dengan penuh tidak bertanggungjawab dan berbaur fitnah di dada akhbar, radio dan televisyen utama yang mengatakan bahawa individu-individu yang ditembak adalah penjenayah berdasarkan penemuan senjata seperti parang selepas tembakan dilepaskan. Kenyataan tidak bertanggungjawab dan berbaur fitnah ini dipaparkan setelah polis sendiri mengesahkannya, walaupun tiada sebarang siasatan dibuat untuk memastikan samada tembakan tersebut dilepaskan dengan justifikasi atau tanpa justifikasi di bawah peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Malaysia 39 vs England 2
39 angka kematian pada tahun 2009 di Malaysia yang dilaporkan akibat tembakan oleh polis adalah sesuatu yang merisaukan jika dibandingkan dengan angka kematian yang melibatkan tembakan polis iaitu sebanyak dua kematian di seluruh England dan Wales pada tahun 2009.
Melihat kepada statistik mudah di atas, persoalan munasabah yang timbul adalah: Bagaimanakah negara-negara seperti England dan Wales mampu mempunyai institusi polis yang berkesan untuk memelihara nyawa orang awam dan pada masa yang sama bekerja keras membanteras jenayah dalam usaha memberkas suspek, di mana hanya terdapat dua kes kematian yang disebabkan tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis?
Bagaimanakah sesebuah negara seperti England dan Wales mampu mempunyai sistem yang secara automatik menyiasat secara bebas setiap kali peluru dilepaskan oleh anggota polis, meskipun peluru tersebut tidak meragut mana-mana nyawa? Bagaimanakah negara seperti England dan Wales mampu menghormati hak untuk hidup seseorang individu, hak untuk diangap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh Mahkamah dan meletakkan kepatuhan yang tinggi pada prinsip undang-undang berkenaan penggunaan senjata api dalam usaha membanteras jenayah?
Nilai kemanusiaan
Bukankah nilai kemanusiaan setiap insan di England, di Wales, di Malaysia, di Afrika atau di mana-mana sahaja adalah sama intipatinya?
Jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah mudah. Kepatuhan kepada peruntukan undang-undang sedia ada, ketelusan institusi polis dalam membanteras penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis itu sendiri dan mekanisma yang telus yang secara automatik menyiasat secara bebas sebarang penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis setiap kali tembakan dilepaskan dalam usaha memberkas suspek.
Jika dibandingkan dengan negara kita, adalah menjadi fakta yang meruntun jiwa dan hati nurani di mana, setiap kali seseorang individu mati ditembak polis, namanya terus difitnah dengan label "penjenayah" walaupun individu tersebut tidak pernah disiasat dan dibuktikan kesalahannya dan tiada sebarang siasatan bebas dijalankan untuk memastikan kemunasabahan tindakan anggota polis yang terlibat.
Situasi menjadi lebih parah apabila institusi polis yang sepatutnya tampil ke hadapan untuk menegakkan keadilan walaupan terhadap anggotanya sendiri dengan angkuhnya mempertahankan tindakan anggotanya yang dilakukan di luar nas undang-undang dan menghalang sebarang siasatan telus untuk dijalankan. Tindakan tidak bertanggungjawab ini secara terus-terusan direstui oleh kerajaan yang sepatunya mengetuai barisan hadapan untuk menghukum pencabul-pencabul kuasa dan undang-undang demi melindungi kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang.
Amanah: Pertahankan undang-undang
Dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, adalah menjadi satu norma untuk sesebuah institusi polis yang telah diamanahkan sebagai pelaksana undang-undang untuk bertindak dan menjalankan tugas mereka berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia sepertimana yang telah termaktub di dalam Pengisytiharan Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia yang kemudiannya dizahirkan di dalam perlembagaan sesebuah negara demokrasi tersebut.
Fungsi sesebuah institusi polis yang diamanahkan untuk mempertahankan undang-undang dan ketenteraman awam haruslah berlandaskan penggunapakaian undang-undang jenayah yang adil terhadap semua individu. Ini adalah kerana institusi polis dilihat sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk melindungi orang-orang yang tidak bersalah, membawa ke muka pengadilan orang-orang yang melanggar undang-undang, berusaha keras menegakkan prinsip-prinsip keadilan dan bertindak di bawah peruntukan undang-undang dan memerangi sebarang pengalahgunaan kuasa oleh mana-mana anggota polis demi menjaga nama baik institusi polis tersebut.
Kepatuhan kepada prinsip-prinsip ini adalah penting dalam menjamin keberkesanan fungsi institusi polis tersebut dan pada masa yang sama memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa institusi ini adalah berkesan dan telus dalam menjaga ketenteraman awam dengan mewujudkan persekitaran yang selamat di mana jenayah dibanteras mengikut lunas undang-undang, bebas daripada sebarang penyalahgunaan kuasa.
Haruslah diingatkan bahawa, penyalahgunaan kuasa oleh institusi polis yang berlaku akibat penyelewengan penggunapakaian undang-undang dan ketiadaan mekanisma bebas sebagai pemerhati akan memberikan kesan yang buruk kepada orang awam. Ini adalah kerana keberkesanan dan ketelusan fungsi polis tidak dapat lagi dijamin seandainya peruntukan undang-undang tidak digunapakai mengikut garis panduan yang ditetapkan di mana jenayah yang sebenar gagal untuk ditangani dan pada masa yang sama orang-orang awam yang tidak bersalah dan orang-orang yang masih belum dibuktikan bersalah oleh Mahkamah dihukum tanpa sebarang justifikasi.
Realitinya jelas, rakyat adalah sendiri dan setelah sekian lama dibiarkan sendiri untuk mempertahankan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan kemaslahatan bersama, memandangkan kewujudan penguatkuasa undang-undang di negara kita hanya sekadar boneka kertas dan indah khabar dari rupa. Rakyat semakin hari semakin sendiri dalam berjuang untuk membawa perubahan dalam institusi polis di mana laungan-laungan suara keramat untuk penubuhan satu suruhanjaya bebas yang bertindak sebagai mekanisma pemerhati penyalahgunaan kuasa oleh institusi polis ditepis dan ditolak dengan sinis oleh kerajaan yang sepatutnya mengepalai usaha-usaha untuk membawa perubahan positif demi kemaslahatan rakyat.
Kita tidak mampu lagi untuk berdiam diri dan membiarkan amanah-amanah yang diletakkan di bahu penguatkuasa undang-undang terus-terusan dicabuli dan direstui kerana usaha kita untuk memartabatkan negara kita, ketamadunan masyarakat kita, kemanusiaan kita dan kedaulatan undang-undang kita adalah terletak kepada prinsip-prinsip keadilan yang perlu ditegakkan, tanpa mengira siapa, samada terhadap seseorang individu, sesebuah institusi, ataupun terhadap pemerintah.
*Fadiah Nadwa Binti Fikri ialah ahli Lawyers for Liberty dan Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur.
Thursday, May 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment