Wednesday, February 17, 2010

Cuti-Cuti

Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada rakan-rakan semua.

Cuti adalah salah satu perkara yang paling menggembirakan hati aku, sebagai seorang yang sangat menghargai nikmat tidur. Cuti juga adalah hak yang paling agung bagi seorang pekerja macam aku dan pekerja-pekerja lain di mana-mana jua. Cuti juga merupakan saat di mana kita semua bebas melakukan apa jua aktiviti pada bila-bila masa.

Cuti Tahun Baru Cina minggu lepas memang aku sangat nanti-nantikan untuk aku memanjakan diri dengan tidur. Bebas dari gangguan jam loceng dan deringan-deringan telefon kerana silent mode akan diaktifkan sejurus persiapan untuk tidur dilengkapkan.

Sabtu.

Hari Sabtu lepas, setelah bangun dari tidur yang indah, aku melawat dua orang sepupu kecil aku, Zahwa dan Zakhrif di Bukit Beruntung. Agak lama juga aku tidak meluangkan masa dengan mereka berdua. Sebelum isu aku kurang memberi perhatian kepada ahli keluarga menjadi isu-isu berbangkit, lebih elok seandainya aku mengambil langkah pencegahan.



Zahwa dan Zakhrif sangat gembira pada hari tu. Aku sempat bawak mereka main di padang permainan. Bila saja aku bersiap-siap untuk pulang ke rumah, mereka terus bertanya ke mana aku hendak pergi. Wajah mereka terus berubah dan tidak segembira tadi dan ini membuatkan aku rasa bersalah. Aku berjanji akan melawat mereka lagi di waktu lapang.

Ahad.



Kebelakangan ini, seolah-olah ada serangan ombak kedua selepas bulan Disember tahun lepas untuk jemputan ke majlis perkahwinan. Ahad lepas, Ayu, yang merupakan kawan baik Sasha telah melangsungkan perkahwinannya di Pandan Indah. Aku, Farhana, Sasha dan beberapa kawan-kawan lain melepak di tempat kenduri sampai orang angkat meja dan kerusi.Itu memang perkara biasa. Bila saja melepak, tidak kiralah di mana-mana sahaja memang kami akan lupa dunia seketika, kalau di kedai kopi pun akan berjam-berjam sampai kedai tutup dan diminta dengan sopannya untuk beredar.

Isnin.

Isnin pula, kami telah dipaksa oleh keadaan untuk bangun awal untuk bergerak ke acara mandi air terjun di Kuala Kubu Baru. Peserta terdiri daripada aku, Farhana, Murni, Syuhaini dan Fajrina. Semua ditugaskan untuk memasak dan membawa makanan. Kononnya rancangan awal untuk bergerak pada pukul 7 pagi. Memandangkan semua terlalu sayang dengan waktu tidur, kami bergerak pada pukul 10 pagi. Tatkala sampai sahaja di tempat yang telah kami tandakan sebagai kawasan kami, kami nampak berderet-deret kereta di sepanjang jalan. Kami kecewa. Pelan untuk menguasai tempat tersebut gagal.



Adalah menjadi pantang larang aku untuk berkelah di tempat orang yang ramai di mana sukar untuk aku menandakan teritori aku sendiri. Sudah menjadi kebiasaan dari aku kecil lagi untuk memberontak sendainya ingin berkelah, terdapat orang ramai yang sampai dahulu di tempat perkelahan sebelum aku. Aku akan memberontak dengan memaksa abah mencari tempat yang tiada orang ramai di mana aku, kakak, abang dan adik dapat menguasai tempat tersebut.

Control freak? When it comes to this, yes!



Setelah membuat pusingan U, kami bercadang untuk meneroka Santuari Ikan Sungai Chiling di kawasan berhampiran. Menurut seorang rakan, ada air terjun yang sangat cantik di situ.Aku memetik kata-kata rakan tersebut "best tempat tu, ikan-ikan berenang-renang celah ketiak". Kami berjaya menemui tapak perkhemahan yang disediakan pihak perhilitan.



Dan yang paling menarik, kami semua berjaya menemui air terjun yang sangat cantik dan bersih, dan yang paling menggembirakan hati, tiada orang ramai!!Kami telah berjaya menguasai tempat tersebut. Mandi, makan, tidur, dan mandi lagi. Indah.

Selasa.

Setelah berjanji dengan Mr. P, aku, Farhana, Murni dan Syuhaini telah menghabiskan seawal pagi Selasa untuk bermain dengan kuda di Bukit Kiara. Mr. P mempunyai dua ekor kuda yang sangat gagah dan cantik. Kora dan Gat (aku tidak pasti dengan ejaannya). Kami telah diberi taklimat tentang seni sukan berkuda dan menyelami kehidupan kuda-kuda di sekeliling. Sangat menarik bagaimana manusia boleh berkomunikasi dan berkasih sayang dengan haiwan dan saling faham memahami antara satu sama lain. Ini merupakan perkara baru yang menarik bagi aku, yang mempunyai rasa takut kepada haiwan seperti gajah, zirafah, kucing, ayam dan sebagainya.



Aku dapat rasakan jantung aku berdegup kencang apabila kuda-kuda tersebut berdiri dekat dengan aku. Menunggang kuda? Jauh sekali kerana untuk memegang kuda pun aku takkan pernah mampu kerana terlalu takut. Tapi, aku sangat gembira kerana aku telah berjaya mengaharungi rasa takut pada hari itu, aku berjaya naik ke atas kuda dan memegangnya. Mungkin keberanian ini datang dari rasa hormat kepada Mr. P yang tidak putus asa menyuruh aku untuk melawan rasa takut itu.Aku boleh!!



Setelah pagi itu, kami semua agak terpanggil untuk pergi lagi bermain dengan kuda-kuda tersebut. Kami merancang untuk mengambil kelas menunggang kuda dan menyelami seni sukan berkuda dengan lebih mendalam lagi.

Sekian sahaja cuti-cuti sempena Tahun Baru Cina 2010.

3 comments:

iRah said...

fad!!! kuda?? W.O.W hahahahhaha!!

FadiahNadwa said...

tula pasai kak irah...macam tak percaya!!:P

FadiahNadwa said...

tula pasai kak irah...macam tak percaya!!:P