Tuesday, April 27, 2010

Tembak untuk menangkap atau membunuh?


"Bolehkah polis tembak orang awam tanpa sebarang justifikasi?".Ini adalah soalan yang aku masih ingat ketika mana ditanya oleh salah seorang wartawan ketika kami cuba untuk menyampaikan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan kejadian seorang ibu tunggal, Norizan Salleh yang ditembak secara rambang oleh polis.

Kes Norizan Saleh merupakan satu-satunya kes di mana mangsa masih hidup dan dapat menceritakan apa sebenarnya yang terjadi dan memberi jawapan samada tindakan polis menembak beliau dan rakan-rakannya adalah di bawah peruntukan undang-undang dalam pelaksanaan tugas atau satu cubaan membunuh.

Mungkin, kalau aku masih kecil dan mentah, aku tidak akan dapat memahami bahawa adanya kes-kes di mana polis menembak orang awam tanpa sebarang justifikasi dan melanggar peruntukan undang-undang.

Mungkin kalau aku masih kecil dan mentah, bilamana aku membaca surat khabar dan menonton berita-berita tv utama yang menyatakan polis telah menembak mati penjenayah yang dikehendaki, aku akan merasa lega bahawa polis telah menjalankan tugas mereka untuk membanteras jenayah.

Tetapi, sepantas masa berlalu, aku tidak lagi mentah untuk memahami bahawa setiap manusia boleh bertindak diluar pertimbangan seandainya manusia itu diberikan kuasa.

Oleh sebab itu, manusia memerlukan undang-undang dan peraturan-peraturan yang tegas untuk menghadkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan pelaksanaan kuasa adalah di bawah nas-nas undang-undang dan kemanusiaan.

Semalam, semasa aku dan teman-teman berjumpa di kedai kopi untuk berbincang tentang sesuatu, kami telah dihubungi oleh teman kepada kelurga arwah adik Aminul Rashid yang ditembak mati oleh polis berhampiran dengan rumahnya. Kami bergegas ke Shah Alam untuk bertemu keluarga adik Aminul Rashid untuk mengetahui kedudukan sebenar.

Ibu adik Aminul Rashid cuba untuk menceritakan apa yang berlaku sambil menahan air mata. “Dia anak yang baik, di sangat aktif dalam sukan. Jiran-jiran, kawan-kawan dan cikgu-cikgu di sekolah semua terkejut kenapa dia dituduh sebagai penjenayah. Mereka semua berjanji nak bersihkan nama dia bila ke sekolah esok”.

Inilah rintihan hati seorang ibu yang kehilangan seorang anak yang berumur 15 tahun yang diragut nyawanya dalam sekelip mata.

Adik Aminul Rashid keluar dari rumah dengan memandu kereta kakaknya bersama seorang kawan untuk minum-minum di restoran mamak berhampiran di mana kereta yang dipandunya tergesel dengan satu kereta lain. Akibat terlalu takut, adik Aminul Rashid cuba untuk melarikan diri dan memandu pulang ke rumah.

Dalam keadaan kelam kabut, keretanya melalui kereta polis dan polis terus mengejar dan melepaskan tembakan. Empat biji tayar telah ditembak tetapi terdapat juga beberapa tembakan yang dihalakan ke cermin kereta walaupun kereta telah berhenti akibat berlanggar tembok. Satu peluru menembusi kereta dan membunuh adik Aminul Rashid.

Kawannya yang dalam keadaan panik keluar dari kereta dan anggota-anggota polis telah memukulnya dari belakang dan memijaknya beramai-ramai.

Persoalannya, bolehkah polis menembak sesiapa saja dengan niat untuk membunuh (shoot to kill) dan bukannya untuk menangkap, tidak kira orang awam ataupun suspek dalam usaha menangkap indidvidu tersebut?

Undang-undang memperuntukkan bahawa polis tidak boleh menggunakan senjata api dengan sewenang-wenangnya, tanpa justifikasi dalam cubaan untuk menangkap seseorang individu. Ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang Bangsa-Bangsa Bersatu tentang penggunakan senjata api oleh pihak berkuasa.

Aku masih ingat semasa memorandum untuk siasatan awam ditubuhkan dihantar kepada SUHAKAM beberapa bulan lepas untuk kes Norizan Saleh, Pesuruhjaya Dato’ Siva menyatakan bahawa di negara-negara maju yang lain, polis tidak lagi menggunakan senjata yang boleh membunuh dalam cubaan menangkap seseorang individu.

Aku juga masih ingat ketika Norizan Saleh memberikan keterangan di SUHAKAM, polis yang menggunakan justifikasi bahawa beliau dan rakan-rakan ditembak kerana disyaki untuk menyamun tidak pernah didakwa sehingga ke hari ini.

Pihak polis juga terang-terangan ketika mana hospital memaklumkan tentang penejelasan bil perubatan Norizan Saleh menyatakan bahawa kes ini adalah kemalangan jalan raya dan polis tiada kena mengena.

Bila aku amati fakta-fakta ini, aku terfikir. Perasaan gerun mula menghinggap dalam fikiran. Aku ada seorang adik, aku ada seorang abang, aku ada seorang emak. Jika tindakan kejam ini dibiarkan dan berleluasa, apakah jaminan yang aku, adik aku, abang aku, atau keluarga kamu tidak akan terekecuali?

Mereka tidak dapat bersuara untuk menceritakan keadaan sebenar. Kita yang masih bernyawa perlu bersuara untuk mereka agar keadilan dapat ditegakkan kerana keadilan dan kebenaran tidak pernah bisu atau tidak mampu melihat.

5 comments:

Girl Behind A Shadow said...

Sedih dan sayu bile nyawa orang senang-senang je terkorban disebabkan sikap polis yang tidak berhati-hati dan sesuka hati je menembak orang.

Adakah begitu mudah kita menjatuh hukum ke atas seseorang sebelum mengetahui hal sebenar dan dalam kes ini menjatuh hukum dengan kematian.

MUHAMAD ASHRAF BIN FAIZAL said...

Saya sekadar ingin menyatakan pendapat sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang dijamin kebebasan bersuaranya.

Satu soalan yang ingin saya ajukan kepada polis. Mengapa perlu headshot kepada budak umur 15 tahun. Bukankan itu terlalu kejam sedang ada banyak lagi kaedah yang baik untuk menangani kes sedemikian. Saya nak beritahu kepada polis, kalau mereka pakai uniform polis yang berpangkat lans koperal pun, budak sekolah menengah atau orang kampung dah kecut. Tak perlu lah sampai nak memuntahkan peluru dari pistol. Cukup sekadar pintas kereta mereka, dan tahan di balai polis. Paling kuat pun, budak-budak tu terkencing dalam lokap.

Mengapa terlalu mudah untuk mengambil keputusan untuk melayangkan nyawa seorang manusia yang tidak bersenjata. Lainlah jika berlaku insiden berbalas tembakan. Jika berlaku demikian, amat patutlah dibalas semula tembakan untuk mematahkan serangan dan mempertahankan diri.

Perkara ini amat menyedihkan, dan amat malang bagi ibu tunggal kepada Allahyarham Aminulrasyid Amzah. Dari sudut pandang peribadi, jika benar pun mereka terlibat dalam perilaku jenayah, saya pasti ada hukuman yang dijamin oleh undang-undang untuk mereka. Bukan dengan cara melepaskan tembakan. Sedangkan ada undang-undang juvana bagi mereka yang di bawah umur..

Beware of headshots!!

1 perniagaan Online said...

salam fad,
aku husband nurulhuda.
aku ucapkan semoga perjuangan ko diredhai Allah S.W.T.Aku sokong ko yang sanggup memperjuagkan hak2 manusia yang sepatutnya.Semoga Allah merahmati ngko.

FadiahNadwa said...

terima kasih fadel.thanks for the kind words.:)

Azizi Zulkefli said...

Gerun bila baca kes Norizan. Kalau macam nila. takde sape yg selamat kat Malaysia ni. Orang yg bukan penjenayah boleh disyaki penjenayah sesuka hati dan tindakan pun sesuka hati.